by admin admin No Comments

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) — Penyedia komponen kejuruteraan, MMIS Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada Ogos 2019, menyasarkan untuk meraih RM5 juta daripada terbitan saham baharu sebanyak 10 sen sesaham.

MMIS terlibat dalam pembuatan, pemasaran dan jualan komponen kejuruteraan.

Dalam Memorandum Maklumatnya yang dilancarkan hari ini, syarikat itu berkata sebanyak 40 peratus atau RM2 juta daripada hasil tersebut akan digunakan sebagai perbelanjaan modal dan RM2 juta lagi untuk modal kerja dengan baki RM1 juta akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat MMIS Dr Jeffrey Chin Fook Kheong berkata penyenaraian di Pasaran LEAP akan membuka laluan kepada syarikat untuk memasuki Pasaran ACE dalam tempoh dua tahun. 

“Jika kami mencatatkan keuntungan yang menggalakkan dalam tempoh 12 hingga 24 bulan, kami merancang untuk memasuki Pasaran ACE,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Memorandum Maklumat untuk tawaran awam permulaan pasaran LEAP di sini hari ini. 

Berdasarkan Memorandum Maklumat, keuntungan bersih MMIS meningkat kepada RM4.11 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2018 daripada RM1.30 juta pada tahun kewangan 2017.

Perolehan turut naik kepada RM17.02 juta daripada RM9.35 juta sebelum ini.

Mengenai prospek syarikat bagi tahun kewangan 2019, Chin menjangka prestasi akan merosot sedikit disebabkan perang perdagangan AS-China yang berterusan. 

Mengenai masa depan, beliau, bagaimanapun yakin prestasi syarikat akan meningkat susulan pengembangan kapasiti pengeluarannya, yang dijangka selesai pada pertengahan 2020. 

Syarikat itu akan menggunakan perbelanjaan modal sebanyak RM2 juta daripada penyenaraian di Pasaran LEAP untuk membeli empat mesin tambahan bagi memperluaskan lagi rangkaian produknya, katanya.

Pelanggan sedia ada syarikat itu termasuklah Vitrox Technologies Sdn Bhd dan Towam Sdn Bhd. 

Post from Buletin Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *